Semasa

Kuantiti sampah di Sungai Klang berkurangan

KLANG : Penggunaan jentera pembersihan sungai (Interceptor) telah berjaya mengurangkan kuantiti sampah di dalam Sungai Klang daripada 1,500 tan kepada 800 tan selama sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata pihak mereka meletakkan sasaran pengurangan sebanyak 500 tan sebulan menjelang penghujung tahun ini.

Menurutnya, kualiti air di sungai tersbeut juga semakin baik iaitu daripada kelas empat dan lima kepada kelas tiga.

“Dahulu, kualiti air pada kelas empat dan lima tetapi sekarang makin bagus dengan 48 peratus daripada Sungai Klang berada di kelas tiga dan ke atas (kelas dua dan satu).

“Jadi, kami menyasarkan Sungai Klang itu akan berada di kelas tiga iaitu bersamaan 70 peratus daripada sungai tersebut,” katanya.

Susulan kejayaan Interceptor 002 yang ditempatkan di Taman Awam Pangkalan Batu di sini pada 2019, mereka telah menempatkan Interceptor 005 di Sungai Klang berdekatan Pelabuhan Klang sejak Oktober lepas.

Sementara itu, Izham yang juga Pengerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) iaitu pemaju utama projek SMG, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pemasangan perangkap sampah di lokaliti tertentu sebelum ia memasuki Sungai Klang.

“Ada empat PBT sepanjang Sungai Klang iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang telah dimaklumkan dalam mesyuarat SMG.

“Dengan adanya kerjasama ini, kami yakin jumlah sampah di dalam Sungai Klang akan terus berkurangan,” katanya.

– BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button