Covid19Semasa

Ramadan ke fasa peralihan endemik, rakyat Malaysia jaga SOP

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak leka dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun sekatan telah ditarik balik sejak negara memasuki peralihan kepada fasa endemik.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pematuhan SOP termasuk memakai topeng muka di tempat awam yang menjadi kewajiban rakyat Malaysia sejak wabak COVID-19 melanda.

“Walaupun telah diberikan sedikit kelonggaran, pemakaian topeng muka di tempat adalah wajib,”

“Jangan leka dan teruskan mengamalkan kawalan diri,” ujar beliau dalam ucapan khas Ramadan.

Selain itu, Ismail Sabri, berkata peralihan kepada fasa endemik akan membolehkan seluruh umat Islam di Malaysia dapat kembali menjalani kehidupan normal.

Beliau meluahkan rasa syukurnya kerana Ramadan pada dua tahun lalu tidak semeriah dan senyap sunyi akibat penularan wabak COVID-19 serta umat Islam tidak dapat berbuka puasa dan moreh bersama.
Di samping itu, mereka juga tidak dapat menunaikan solat tarawih dan solat secara berjemaah disebabkan oleh SOP yang ketat.

Akhirnya, Ramadan tahun ini, umat Islam dapat kembali menunaikan solat fardhu dan solat tarawih secara berjemaah, serta dapat memeriahkan program ihya’ Ramadan, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

“Kami percaya ramai yang mahu pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan kerana tidak dapat melakukannya pada Ramadan lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengatakan bahawa Ramadan adalah peluang untuk kita menginsafi diri dan meraih pahala dengan amalan bersedekah.

“Semoga bulan mulia ini dapat mengukuhkan aspek kerohanian keluarga Malaysia dan pada masa yang sama umat Islam menjaga hubungan bukan sahaja dengan pencipta tetapi juga sesama manusia,” ujar beliau.

-AGENSI

Oleh: Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof, UiTM SA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button