Senarai jemaah 2020, 2021 diberi keutamaan untuk tunai haji tahun ini – Idris
BUKIT GANTANG : Bakal jemaah yang telah disenaraikan pada tahun 2020 dan 2021 akan diberi keutamaan untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, menurut Lembaga Tabung Haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, keputusan mengenai kuota haji tahun ini diharapkan dapat diperoleh dalam masa terdekat dan mengutamakan mereka yang telah disenaraikan nama pada kedua-dua tahun tersebut.
“Kemungkinan tekanan yang sedang dihadapi oleh kerajaan Arab Saudi berikutan Covid-19 menjadi sebab mereka masih belum boleh memberikan jawapan mengenai kuota haji.
“Tambahan pula negara itu juga baru sahaja membuka semula sempadan negara mereka dengan membenarkan Umrah,” katanya.
Menurut Idris, kehadiran jemaah yang melakukan Umrah di Mekah dan Madinah agak ramai dan mungkin itu merupakan ujian di lapangan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menentukan kuota haji pada tahun ini.
“Kita harap mendapat kuota haji sebelum bulan Ramadan namun setakat ini kuota haji mana-mana negara pun belum diumumkan atau diputuskan lagi oleh kerajaan Arab Saudi.
“Kita berdoa pada Allah agar dipermudahkan urusan untuk mendapat keputusan tentang perkara itu bagi memudahkan kita untuk menyusun dan merangka pengurusan untuk menempah hotel, pengangkutan dan sebagainya,” katanya.
– AGENSI