SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak ragu-ragu untuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
Ia mengundang kemarahan orang ramai selepas tular di media sosial mengenai data pengguna aplikasi MySejahtera yang dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan KKM akan sentiasa memastikan aspek tersebut tidak dikompromi dan kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin.
Tambahnya lagi, kementerian telah menetapkan segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan, manakala data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan lagi.
Malah, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa perlu dipatuhi dalam penggunaan dan pengurusan data MySejahtera.
Ia sekali gus memastikan data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
Khairy juga menjelaskan transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan (cloud server network) setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera sahaja.
Justeru, KKM komited bagi memastikan data peribadi pengguna aplikasi tersebut dirahsiakan dan tidak timbul isu data dijual kepada pihak lain.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today