SemasaSyariah

Kelantan benarkan jemaah rapatkan saf mulai 1 April

KOTA BHARU : Pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu lima waktu tanpa penjarakan fizikal dan aktiviti bagi Masjid Negeri, Bandar, Jajahan, Mukim, Surau serta musalla seluruh negeri Kelantan dibenarkan berkuat kuasa 1 April selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Perkara tersebut mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata kelonggaran ini termasuk solat tarawih sama ada lapan atau 20 rakaat serta Qiamullail pada bulan Ramadan.

“Semua aktiviti seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas atau umum dan program Ihya Ramadan juga dibenarkan seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.

“Selain itu, pihak masjid, surau dan musalla hanya dibenarkan menyediakan sajian berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

“Hanya jemaah yang tidak mempunyai gejala COVID-19 dibenarkan hadir, manakala yang bergejala tidak dibenarkan hadir.

“Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka serta diwajibkan membawa sejadah masing-masing dan tidak dibenar bersalam antara satu sama lain.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musalla dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini selaras dengan pandangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara  itu, pihaknya turut mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

“SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla. Tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal mematuhi SOP.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu serta memperkenankan doa dan harapan kita semua,” katanya.

Related Articles

Back to top button