Kuala Lumpur: Hospital Tunku Azizah (HTA) melakar sejarah yang pertama di Malaysia apabila pasangan kembar siam pramatang seberat 2.7 kilogram(kg) berjaya dipisahkan, semalam.
Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr Zakaria Zahari, berkata selalunya usia bayi antara tiga hingga enam bulan yang biasanya boleh dilakukan pembedahan seumpama ini.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, disebabkan komplikasi ‘extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome’, pasangan itu terpaksa menjalani pembedahan segera pada usia 17 hari.
“Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr Maneet Kaur untuk rawatan lanjut di HTA.
“Selepas perbincangan antara doktor pakar HRPB dan HTA secara dalam talian pada 15 Mac lalu, keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu disepakati,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook HTA, malam tadi.
Dr Zakaria berkata, pasukannya disertai oleh 6 pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, 13 orang doktor pakar beserta 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.
Katanya, pasangan kembar siam jenis Omphalophagus itu berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa sebarang komplikasi utama dan didapati berkongsi bahagian hati, manakala organ yang lain didapati normal.
“Proses persediaan untuk pembedahan dimulakan seawal jam 7.30 pagi dan kedua-dua bayi kemudian dihantar balik ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) pada jam 2 petang.
“Dengan sokongan pasukan Neonatologi, diharapkan kedua-dua bayi ini dapat sembuh dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dr Zakaria berkata, pembedahan pasangan bayi kembar siam ini merupakan pembedahan yang ketiga sejak pembukaan HTA.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mengucapkan tahniah kepada pasukan HTA atas kejayaan pembedahan pasangan kembar siam yang paling muda itu.
“Pembedahan ini berjaya memisahkan pasangan bayi kembar yang bercantum di bahagian dada dan usus.
“Tahniah dan syabas kepada pasukan HTA yang diketuai Datuk Dr Zakaria kerana berjaya memisahkan bayi kembar ini dan kini mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya melalui Twitternya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today