
Seremban – 10 buah masjid baharu sedang disiapkan oleh kerajaan Negeri Sembilan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.5 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan persekutuan digunakan untuk masjid di Jelebu, Jempol dan Seremban dan enam buah masjid lagi dibina dengan peruntukan kerajaan negeri.
“Masjid ini sudah pun dalam pembinaan dan jika tiada aral serta dengan izin ALLAH jua dijangka siap pada tahun 2023 nanti dan ia merupakan pertambahan kepada keseluruhan 303 masjid yang ada di negeri ini.
“Kita juga berdoa semoga wabak Covid-19 akan dapat dibendung dan seterusnya masjid boleh kembali berfungsi sebagai institusi pencerdasan dan pemerkasaan umat yang menyeluruh,” katanya pada Majlis Konvensyen Hala Tuju Pengurusan Masjid peringkat Kebangsaan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pertambahan masjid ini dapat meningkatkan jumlah jemaah di masjid serta pembangunan dakwah dan pendidikan, kerajaan negeri juga sebelum ini menyasarkan 100 buah masjid di negeri ini akan menjadi Pusat Pembangunan Umat Terbaik menjelang 2024.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today