DomestikEkonomiSemasa

Sektor pelancongan dijangka pulih 2023

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangkakan menjelang penghujung 2023 atau awal 2024 industri pelancongan bakal pulih lebih awal disebabkan pembukaan semula sempadan dan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April ini.

Setiausaha Agung MATTA, Mohammad Faeez Mohamad, berkata sejak pandemic COVID-19 berlaku industri pelancongan adalah antara yang terjejas teruk dengan kehilangan pendapatan serta menjejaskan ekosistem keseluruhan termasuk perniagaan dan pekerjaan.

Justeru, katanya, industri pelancongan memerlukan langkah atau suntikan segera dalam memulihkan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik.

“Langkah kerajaan ini juga seiring dengan permintaan MATTA serta peserta industri lain selama ini.

“Kami memerlukan langkah seperti ini, kerana industri pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya selepas sidang media bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) secara maya, hari ini.

Mohammad Faeez berkata, seperti yang diunjurkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), pemulihan industri pelancongan akan mengambil masa, namun Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi di dunia.

“Kadar vaksinasi yang tinggi ini akan memberikan keyakinan kepada pelancong asing dan domestik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor, berkata pelancong bukan saja ke Malaysia tetapi ke Sarawak disebabkan peralihan ke fasa endemik akan membantu meningkatkan sektor pelancongan.

Beliau berkata, kadar kemasukan pelancongan ke Sarawak pada tahun lalu adalah rendah dan diharapkan ia akan dapat meningkat dengan ketara pada tahun ini.

“Walaupun beralih ke endemik, kita perlu memastikan keselamatan pelancong perlu menjadi keutamaan.

“Cabaran ini perlu diambil dengan memastikan semua aktiviti pelancongan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Ia bagi memberikan keyakinan semula kepada pelancong.

“Masih banyak lagi perlu dilakukan bagi memastikan kita dapat mencapai tahap sebelum pandemik bagi industri pelancongan,” katanya.

MATTA Fair edisi ke-50 yang bermula 9-10 April di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sarawak merupakan peserta utama dalam pameran pelancongan tersebut.

Pelbagai tawaran menarik disediakan dalam pameran pelancongan itu termasuk pakej pelancongan domestik dan antarabangsa.

MATTA Fair 2021 kali ini juga akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan pengunjung.

-Agensi

 

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button