Semasa

15 Mac diisytihar sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia

PUTRAJAYA : Malaysia menaja bersama resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia,

Ia mencerminkan keperluan mendesak untuk menangani peningkatan diskriminasi, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan keganasan terhadap umat Islam di seluruh dunia

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan berkata, resolusi hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu diterima pakai secara konsensus di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Rabu.

Pengisytiharan tarikh tersebut adalah sebagai memperingati tragedy serangan ke atas jemaah Islam ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 yang mengorbankan 51 nyawa manakala 40 lagi mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, China, Cuba, Nicaragua, Rusia, Uruguay, Venezuela dan Filipina turut bersama menaja resolusi itu selain negara anggota OIC.

“Resolusi itu mengecam semua tindakan keganasan atas sebab agama atau kepercayaan seseorang, serta serangan ke atas tempat ibadat keagamaan yang melanggar undang-undang antarabangsa.” katanya.

Saifuddin berkata, Islam adalah agama berlandaskan keamanan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang tindakan keganasan atau ekstremisme yang menyimpang daripada ajaran sebenarnya.

Prinsip hidup bersama dalam budaya damai, meningkatkan keharmonian dan saling menghormati antara negara, masyarakat, bangsa yang berbeza agama dan kepercayaan akan terus diperjuangkan oleh Malaysia serta komited memerangi Islamofobia, hasutan dan penindasan.

“Dengan semangat “Keluarga Dunia”, masyarakat antarabangsa harus mengukuhkan usaha dalam menggalakkan dialog bagi mempromosi hidup bersama dalam budaya damai dan harmoni di semua peringkat,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button