Kerohanian

Diasak persoalan “Masuk Islam!” setiap malam

Menanti tahun ke-5, bergelar saudara baharu

PULAU PINANG : Setahun lenanya tidak nyenyak, setiap malam digasak di fikiran bertalu-talu, kata-kata “Masuklah Islam, Masuklah Islam!

Sehinggalah pada satu tarikh keramat beliau mengucapkan kalimah Syahadah untuk bersama-sama dengan umat Islam bertauhid kepada Tuhan Yang Satu, Allah azza wajalla.

Bagi saudara baru atau Muallaf mereka antara insan yang dipilih oleh Allahs.w. untuk mengenali apa itu Islam dan berpeluang menikmati kasih sayang Allah.
Pelbagai definisi menyatakan mengenai Muallaf, antaranya mereka yang dijinakkan hatinya supaya tertarik dengan Islam.
Pada pandangan sekumpulan ilmuan Arab, Muallaf bererti tunduk, menyerah, dan pasrah sedangkan dalam pengertian Islam Muallaf digunakan untuk menunjukkan seseorang yang baru memeluk agama Islam.

Apa pun definisinya, Abdul Salam Abdullah, 61, menanti 17 hari lagi ke hari bersejarah yang mengubah dirinya bergelar – saudara baharu, saudara Islam.

Beliau yakin keputusan yang diambil lima tahun dahulu bukan satu keputusan yang silap.

Kini tertunai impiannya  dan beliau mahu terus membentuk dirinya untuk benar-benar mendalami agama yang Syumul.

Kini pemilik nama dahulunya M. Santiago semakin tenang, ceria, dan sentiasa memanjatkan rasa kesyukuran bergelar orang Islam.

Mengimbau saat terpaut pada Isla, pengalaman bekerja bersama rakan-rakan Islam telah menjinakkan jiwanya akan kebenaran Islam namun semua itu dipendam sehinggalah 39 tahun lamanya.

Kisah Abdul Salam pernah ditulis di media sebelum ini.

Beliau  terbabit sebagai salah seorang penerima bantuan pek makanan, dalam siri Jelajah Peduli Ummah, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, pada Mei lalu.

Bantuan diserahkan kepada beliau oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr)  Ahmad Sani Al-Araby.

Ketika itu, Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dalam usaha kerajaan mencegah penularan wabak pandemik Covid-19.

Dari sejak kisahnya diketahui kini, seronok – itulah perkataan yang tetap sentiasa meniti di bibirnya menzahirkan keterujaannya menjadi sebahagian daripada umat Islam.

“Seronok ramai orang sembahyang, kita tengok orang ramai sembahyang masjid, raya, haji, banyak seronok, hati orang Islam baik, undang-undang baik, kena ikut, kena ikut Nabi, tidak ikut tak baik. Itulah Islam.”

Abdul Salam, mengucapkan penghargaan yang tinggi kepadaTuan Haji Kamaruddin Abdullah selaku Presiden dan Pengasas Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang di atas jasa beliau mendekatkan lagi Abdul Salam dengan agama yang benar ini.

Beliau juga Pengarah Hal Ehwal Dakwah MAPIM sentiasa disebut Abdul Salam sebagai insan yang banyak membantunya sehinggalah Salam dengan rela hati memeluk Islam dan sehingga kini  terus dibimbingi melalui kelas-kelas kepada saudara baharu.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, dan sebagai orang Islam kita seharusnya menunaikan tanggungjawab sosial kita terhadap golongan Muallaf.
Mereka juga mempunyai hak ke atas kita dan kita wajib menunaikannya sebagai hak Muslim kepada Muslim yang lain.
Oleh itu, kita dituntut untuk memberikan bimbingan,  tunjuk ajar dan memberi kefahaman kepada mereka terhadap Islam.
Tidak lupa juga soal kebajikan dan khidmat nasihat atau kaunseling, yang bertujuan mengelak salah faham bahawa Islam itu membebankan dan nasihat yang berterusan perlu bagi menjinakkan hati mereka yang masih lemah.

 

Salam sejahtera ke atas mu, Abdul Salam!

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button