DomestikKesihatanSemasa

Selamat Hari Pembantu Perubatan !

KUALA LUMPUR – Dalam memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) memainkan peranan penting termasuk penglibatan secara aktif dalam aktiviti saringan, rawatan, dan kawalan semasa pandemic Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PPP memainkan peranan penting dalam perkhidmatan rawatan prahospotal dan ambulans dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

“Malah Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan juga merupakan sekretariat latihan bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk melatih anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam catatan di laman Facebook rasmi beliau sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan pada Khamis.

Menurut Dr Noor Hisham, setiap 10 Mac diisytihar sebagai hari pembantu perubatan di seluruh negara dan sebagai satu bentuk penghargaan kepada mereka atas sumbangan dalam  penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Ini seterusnya memberikan impak positif terhadap motivasi serta semangat ahli profesion PPP di Malaysia untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang,” katanya.

Tema sambutan pada hari ini, ‘Bersama perangi pandemik ke arah kesejahteraan keluarga Malaysia’ tambah Dr Noor Hisham lagi, ia mencerminkan kesungguhan warga PPP untuk memberikan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh, berdedikasi dan professional terhadap kesejahteraan masyarakat.

Dr Noor Hisham berharap, melalui perancangan masa hadapan yang dilakukan oleh KKM, mampu meningkatkan keupayaan PPP bagi menyumbang idea, tenaga, kemahiran, keupayaan dan kepakaran demi kebaikan bersama.

“Terima kasih kepada semua wira dan wirawati PPP atas segala jasa bakti, pengorbanan, dan dedikasi tugasan yang terpuji.

“Saya percaya profesion ini akan sentiasa memberi inspirasi dengan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik dengan penuh profesionalisme demi negara. Andalah adiwira di hati rakyat Malaysia,” katanya.

– Bernama

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button