
PUTRAJAYA : Air banjir boleh digunakan bagi tujuan berwudhu sekiranya tidak menemui air bersih ataupun air mutlak dalam situasi tersebut.
Perkara tersebut dijelaskan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portal Maktabah al-Bakri bagi menjelaskan hukum menggunakan air banjir untuk berwuduk.
Dr. Zulkifli berkata, menurut Syeikh ‘Abdullah ‘Abd al-Rahman Bafadhal, seboleh-bolehnya carilah air mutlak untuk berwudhu’ namun jika tidak ditemui, boleh digunakan air banjir kerana ia adalah suci.
“Tidak menjadi masalah perubahan air kerana tidak bergerak dalam waktu yang lama oleh kerana debu, lumut dan apa yang menetap dalam tempat menetapnya air dan tempat mengalirnya air,” jelas Syeikh Abdullah.
Mengulas lanjut, beliau turut memetik Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyatakan sekiranya air berubah pada warna, bau dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.
Walau bagaimanapun, menurutnya jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.
“Jika seseorang itu meyakini bahawa air banjirnya telah bercampur dengan banyaknya najis, maka tidak boleh digunakan untuk berwudhu.
“Adapun jika ia hanya sangkaan ataupun keraguan, ia tidak menggugat kesucian air banjir untuk berwudhu.