PASIR MAS : Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bagi kertas Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) yang sepatutnya diambil hari ini dan esok oleh 708 calon di Pasir Mas akan ditangguhkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kesemua pelajar itu akan kembali menduduki peperiksaan tersebut pada sidang kedua yang dijadualkan April ini.
“Hanya peperiksaan mata pelajaran BM dan BI sahaja yang akan diduduki pada sidang April ini.
“Tujuh buah sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Ugama (Arab) (SMU (A)) Khairiah Banggol Stol, SMU (A) Al-Falah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, SMK Rantau Panjang, SMK Baroh Pial dan Mahaad Muhammadi Rantau Panjang,” katanya.
Tambahnya, peperiksaan bagi kertas lain berjalan seperti biasa namun ia bergantung kepada situasi semasa banjir.
Radzi memberitahu, mana-mana calon SPM yang terkesan dengan banjir atau sukar ke pusat peperiksaan boleh berhubung dengan guru atau pengetua sekolah untuk tindakan lanjut.
“KPM juga memutuskan memberi kelonggaran dari segi pemakaian uniform sekolah. Calon SPM 2021 dibenarkan memakai pakaian lain yang sopan dan bersesuaian.
“Sekiranya berlaku banjir atau paras air semakin naik dalam tempoh peperiksaan berlangsung sehingga menjejaskan pusat peperiksaan, kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Menurut beliau, sidang kedua untuk peperiksaan SPM bukan perkara baharu kerana tahun lalu, KPM turut menggunakan kaedah yang sama berikutan terdapat calon SPM yang positif Covid-19” katanya.
Untuk rekod, tahun ini seramai 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan SPM tahun 2021 di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara
Dalam pada itu, KPM sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar.