Semasa

11 rakyat Malaysia di Ukraine sedang dibawa keluar

PUTRAJAYA : Proses evakuasi untuk kesemua 11 warga Malaysia yang masih berada di Ukraine sedang dijalankan susulan pelancaran operasi ketenteraan Rusia terhadap negara tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi laman Facebook beliau, sebagai ulasan perkembangan terkini di negara itu.

“Kerajaan sedang berusaha melaksanakan proses evakuasi untuk kesemua 11 rakyat Malaysia yang masih lagi berada di Ukraine,” kata beliau melalui hantaran ringkas berkenaan.

Ia sebagai reaksi pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika acara lawatan rasmi di Kemboja berhubung nasib warga Malaysia di Ukraine.

Terdapat sejumlah 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Kyiv dengan 12 orang daripada mereka sudah dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Presiden Rusia, Vladimir Putin telah melancarkan siri serangan peluru berpandu dan roket dari pelbagai arah selepas beliau mengisytiharkan operasi ketenteraan dan pencerobohan pasukan tentera terhadap Ukraine.

Saifuddin turut mengesahkan bahawa pihak kedutaan memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia.

Namun beliau tidak menyatakan sama ada mereka akan dipindahkan menerusi jalan darat ke negara jiran atau laluan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil dekat Kyiv.

Ia berikutan semua penerbangan antarabangsa dari situ sudah digantung susulan notis amaran misi udara atau NOTAM yang diterbitkan pihak berkuasa penerbangan awam Ukraine.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button