KUALA LUMPUR: Akta baharu bagi melarang aktiviti dan pemilikan berkaitan rokok kepada generasi yang lahir selepas 2005 bakal diperkenalkan oleh Kerajaan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, larangan itu membabitkan aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape, dikenali sebagai ‘Generational End Game’ yang diyakini dapat mengurangkan keterdedahan kepada rokok serta produk tembakau.
Bagaimanapun, beliau berkata pengambilan dua produk tembakau adalah faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat penyakit itu.
“Dianggarkan kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM 132.7 juta.
“Pelaksanaan (akta baharu) ini akan mengurangkan jumlah perokok baharu, seterusnya akan tiba satu masa, tiada lagi perokok di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 serta pelancaran buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Pengarah IKN, Dr Mohd Anis Haron@Harun; Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Datuk Dr Saunthari Somasundram dan Pengerusi Malaysian Cancer Care Coalition, Dr Sanjeev Kumar Panchal.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today