Budak terperangkap dalam lori sampah berjaya diselamatkan
KHARTOUM : Setelah lapan jam terperangkap dalam lori sampah, akhirnya seorang kanak-kanak lelaki Sudan berusia 10 tahun berjaya diselamatkan.
Menurut laporan Badan Penyiaran Britain (BBC), budak tersebut yang dikenal pasti sebagai Majed Mubarak Ibrahim itu bekerja dengan sebuah trak yang dikendalikan oleh Syarikat pembersihan negeri Khartoum.
Dia dipercayai sedang membuang sampah sebelum ditarik masuk ke dalam lori.
Majed kini berada di hospital dan sebarang butiran lanjut mengenai keadaannya tidak didedahkan oleh pihak polis.
Seorang saksi berkata bahawa salah satu tangan kanak-kanak itu tersepit di dalam perangkap hidraulik.
Menurut para pengulas sosial, insiden tersebut mendedahkan isu eksploitasi buruh kanak-kanak yang berlaku di Sudan dengan ada yang diambil menjadi tentera.
Kanak-kanak terpaksa bekerja dalam situasi pekerjaan yang berbahaya ekoran realiti ekonomi yang sukar di Sudan dengan jumlah besar yang dicatatkan di Khartoum serta bandar-bandar lain.
Menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF, kira-kira tiga juta kanak-kanak Sudan tidak bersekolah.
Mereka bekerja dalam pelbagai pekerjaan termasuk membersihkan, menjual, memasang batu bata dan mengutip sampah yang berisiko dieksploitasi dan disalahgunakan.
– AGENSI