Tanah runtuh di Brazil mengorbankan 18 individu
RIO DE JANEIRO : 18 orang terkorban di sebuah bandar pelancongan di tanah tinggi berhampiran Rio de Janeiro akibat tanah runtuh dan banjir yang disebabkan oleh hujan lebat, semalam.
“Setakat ini, 18 kematian telah disahkan akibat tanah runtuh dan banjir dalam beberapa jam yang lalu,” kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Rio De Janeiro dalam satu kenyataan.
Lebih 180 anggota bomba dan penyelamat lain telah dihantar ke lokasi di Petropolis, 68 kilometer di utara Rio de Janeiro, menurutnya.
Gambar tular di media sosial menunjukkan beberapa rumah musnah dan kereta dibawa oleh air yang deras, mendorong Dewan Bandaraya mengisytiharkan “situasi bencana”
Tambahan pula, air banjir yang terus meningkat di jalan-jalan di seluruh bandar bersejarah itu membanjiri sepenuhnya beberapa kedai.
Pejabat meteorologi MetSul mendakwa beberapa tempat di Petropolis menerima hujan sehingga 260 milimeter dalam masa kurang enam jam, iaitu melebihi purata bulanan.
Pihak berkuasa memaklumkan, hujan paling lebat sudah berlalu, namun hujan pada kadar sederhana dijangka berterusan untuk tempoh beberapa jam lagi.
Jair Bolsonaro, yang berada di Rusia dalam lawatan rasmi, berkata dalam satu kenyataan di Twitter bahawa pihaknya sedang memerhatikan perkembangan tragedi itu dan telah mengarahkan barisan kementerian untuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa.
Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang di selatan Brazil awal bulan ini, dengan kebanyakan mangsa di Sao Paulo dan Rio de Janeiro.
-AGENSI