Warga Palestin mati ditembak tentera Israel
BAITULMAQDIS : Tentera Israel menembak mati seorang warga Palestin, ketika tentera meneruskan untuk merobohkan rumah seorang lelaki yang disyaki membunuh seorang warganegara Israel.
Pada hari Ahad, pertempuran meletus di bandar Silat al-Harithiya, yang menempatkan penduduk Palestin yang dituduh membunuh dalam serangan bersenjata ke atas kenderaan berhampiran pinggir bandar Yahudi Homesh pada 16 Disember.
Saksi berkata, sebaik tentera tiba untuk memusnahkan rumah itu, tentera dan rakyat Palestin bersenjata berbalas tembakan.
Beratus-ratus rakyat Palestin membaling batu dan bom petrol ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan ‘kelengkapan penyuraian rusuhan dan menembak individu bersenjata yang dikesan’, menurut tentera Israel.
Seorang rakyat Palestin terbunuh dan sepuluh lagi cedera dalam kejadian itu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Israel mendakwa tindakan meruntuhkan kediaman individu didakwa itu akan membantu mengekang serangan seumpamanya pada masa depan.
Namun, kumpulan hak asasi menyelar langkah itu, yang kerap menyasarkan rumah yang masih didiami anggota keluarga lain, kononnya sebagai hukuman bersama.
-AGENSI