DomestikSemasa

Penghuni kuarters diarah pindah, tanah runtuh di Balai Polis Tongod

TONGOD: Semua penghuni kuarters di perkarangan Balai Polis Tongod diarahkan berpindah, susulan kejadian tanah runtuh, dekat sini, hari ini.

Selain itu, penginapan itu ditutup untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin, berkata pihak berkaitan sudah mengambil alih insiden bencana tersebut dan sebelum ini juga penduduk di situ sudah dinasihatkan agar berpindah.

“Langkah itu diambil sehingga mendapat keputusan siasatan daripada pihak berkaitan. Kawasan tanah runtuh berkenaan juga sudah diletakkan kanvas bagi menghalang air hujan terus ke kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan susulan runtuh tersebut.

“PPS masing-masing dibuka di Rumah Rehat Pejabat Daerah Tongod dan di Rumah Rehat Majlis Daerah Tongod. Seramai 31 individu daripada sembilan keluarga ditempatkan di dua PPS terbabit,” katanya.

Kejadian kira-kira jam 2.45 pagi semalam dipercayai akibat hujan berterusan sejak Rabu lalu, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button