HiburanSemasa

Majlis Tayangan Perdana filem Syahadan berlangsung dengan penuh gilang gemilang

PETALING JAYA : Semalam, telah berlangsungnya Majlis Tayangan Perdana filem Syahadan, filem pertama Trilion Marketing Sdn Bhd, arahan Datuk Dr. Fairus Hussain (FDAM) dan Halim Hassan dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mengangkat tema seni mempertahankan diri Melayu iaitu silat.

Majlis yang diadakan di TGV 1 Utama itu turut dihadiri oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang mencemar duli meluangkan masa  menonton filem tersebut.

Menurut pengarahnya, Datuk Dr. Fairus Hussain, filem Syahadan bukan sekadar filem yang menyajikan aksi silat semata-mata, tetapi digarap dengan pembentukan jati diri anak bangsa sesuai dengan falsafah persilatan, iaitu perlambangan Akal Budi Melayu.

“Filem ini membawa hasrat besar pencinta seni budaya bagi memenuhi harapan UNESCO bagi mendokumentasikan sebuah karya seni warisan silat untuk dihayati serta menjadi pengupaya nilai-nilai silat dalam hiburan masa kini.

“Ia bukan sekadar filem yang menyajikan aksi silat semata-mata, tetapi digarap dengan pembentukan jati diri anak bangsa sesuai dengan falsafah persilatan, iaitu perlambangan Akal Budi Melayu,” menurutnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), (Dr.) Sani Araby Al-Kahery mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong filem tempatan dan menyeru mereka memenuhi panggung.

MAPIM turut terlibat sebagai rakan strategik filem Syahadan kerana nilai murni dan kemanusiaan yang dibawakan oleh filem itu selari dengan nilai-nilai yang diperjuangkan MAPIM selama ini.

“Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia yang cintakan seni budaya untuk beramai-ramai hadir menonton berbusana melayu serta bertanjak pada 17 hingga 20 Februari ini. Kami berharap agar penonton boleh berhibur bersesuaian dengan penceritaannya yang dekat dengan kehidupan masyarakat, penuh hikmah dan patuh Syariah.” – (Dr.) Sani Araby Al Kahery

Wakil media yang hadir memberi respon positif terhadap filem Syahadan dan memuji mesej yang ingin disampaikan dalam filem tersebut, yang menekankan bagaimana silat boleh mendidik seseorang itu tentang disiplin diri selain memartabatkan seni dan warisan budaya Melayu yang wujud sejak turun-menurun.

Majlis semakin meriah apabila ramai jempuyan hadir ke pawagam, berbusana Melayu lengkap sekali gus melambangkan budaya Melayu bukanlah sesuatu yang janggal pada zaman ini.

[videopress 2bjftLQr]

 

Sinopsis Filem Syahadan

Syahadan mengisahkan tentang seorang remaja bernama Omar yang hidup tanpa matlamat yang sebenar. Ini menyebabkan ayahnya terpaksa menghantar Omar ke kampung untuk dibaiki akhlaknya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.

Omar pada mulanya menentang dan tidak berminat mempelajari silat. Namun hatinya terbuka setelah gurunya Pak Daud berjaya menumpaskan empat orang samseng yang bersenjata di warung Kak Milah.

Di sepanjang sesi latihan silat bersama Pak Daud, Omar terpaksa berhadapan dengan cabaran latihan fizikal dan mental untuk membina jatidiri sebagai orang silat.

Setelah berjaya mewarisi ilmu persilatan, suatu hari Omar berdepan dengan kumpulan samseng yang merupakan sindiket penculikan kanak-kanak yang diketuai oleh Zed Punk.

Berjayakah Omar menumpaskan kumpulan samseng berkenaan?

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button