Semasa

Bilik asrama lelaki Madrasah Tabligh musnah terbakar

ALOR SETAR :  Satu kebakaran berlaku telah memusnahkan sebuah bilik asrama lelaki di Madrasah Tabligh di Jalan Bukit Pinang.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Hamizi Wan Mohd Zin, mengesahkan penghuni asrama berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran.

Selepas mendapat panggilan jam 6.03 petang, beliau berkata tiga pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Pokok Sena, dan Alor Setar pergi ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kami melihat api telah merebak ke tingkat bawah sebuah Madrasah Tabligh iaitu bangunan kelas A dua tingkat.

“Hasil penilaian awal mendapati, kemusnahan kebakaran membabitkan 50 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Wan Hamizi, penduduk madrasah berkenaan terlebih dahulu cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api jenis habuk kering.

Anggota BBP Jitra ditugaskan mengawal dan memadam kebakaran sehingga ia dapat dipadamkan, menurutnya.

“Bomba Sukarelawan Tunjang dan Bukit Pinang turut membantu dalam operasi (PBS). Punca dan tahap kerugian masih disiasat,” katanya.

-AGENSI

Related Articles

Back to top button