GEORGETOWN: Seorang lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini, semalam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Safry Romli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.10 petang.
Katanya, mangsa ditemukan pengsan apabila sepasukan lima anggota mendaki kira-kira 20 minit iaitu sejauh 450 meter ke lokasi tersebut.
“Ketika tiba di tempat kejadian pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 30 minit kepada mangsa selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter bukit berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Safry berkata, anggota bomba menurunkan mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.
Difahamkan mangsa dari Sungai Ara, Bayan Lepas, sebelum itu melakukan aktiviti mendaki bersama kira-kira 10 rakannya sebelum didapati tidak sedarkan diri.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today