KUALA TERENGGANU : Tular baru-baru ini bahawa bekalan mentah telur kini habis di Terengganu. Walaubagaimana pun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu (KPDNHEP) menafikan laporan bahawa bekalan telur di negeri ini telah kehabisan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, bagaimanapun, pihaknya memang mengakui terdapat beberapa stok terhad gred telur tertentu yang dibekalkan oleh pengeluar kepada pemborong dan pasar raya, yang kini kira-kira 50 peratus berkurang daripada biasa.
“Bukannya kita sudah kehabisan stok telur di Terengganu seperti yang didakwa. Bagaimanapun, telur yang dijual dalam bungkusan 10 itu masih terdapat di kedai dan pasar raya,”
Beliau berkata kekurangan bekalan telur hanya menjejaskan gred telur tertentu buat masa ini dan ia adalah isu nasional yang saling berkaitan dengan pelbagai faktor termasuk kenaikan harga makanan haiwan serta keadaan cuaca yang menjejaskan banyak negeri, dan bukan hanya di Terengganu.
Dalam pada itu, beliau berkata kekurangan stok telur juga berpunca daripada peningkatan permintaan untuk bahan makanan kerana tempoh perayaan Tahun Baru Cina.
“Bagi membantu mengatasi masalah ini, terdapat pasar raya yang melakukan kawalan diri dan mengehadkan bilangan pembelian. Contohnya, setiap pembeli hanya dibenarkan membeli dua dulang telur sahaja.” katanya