Semasa

Ambil masa tangkap harimau – PERHILITAN

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memaklumkan proses menangkap beberapa ekor harimau belang yang berkeliaran sekitar Pos Bihai di Gua Musang akan mengambil masa lebih sebulan.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohd Hafid Rohani, berkata ia bukan semudah yang disangka untuk sebarang tangkapan membabitkan hidupan liar termasuk harimau belang.

Katanya, lebih-lebih lagi ia membabitkan kawasan yang luas dan cabaran utama kepada pihaknya dalam menjejaki harimau berkenaan adalah jarak satu lokasi ke lokasi lain sangat jauh dan mengambil masa sehingga tiga jam perjalanan.

“Sejak menerima aduan pada 10 Disember lalu, kami tidak menerima laporan semata-mata sebaliknya pelbagai pendekatan sudah dilakukan untuk menjejaki binatang berkenaan. Selain itu, yang menyukarkan kami adalah keadaan jalan yang agak teruk selain ada lokasi anggota terpaksa memarkir kenderaan dan perlu berjalan jauh untuk menjejaki binatang berkenaan.

“Seramai 15 kakitangan PERHILITAN termasuk dari ibu pejabat yang kini berkampung di perkampungan Orang Asli dan setakat ini tiga perangkap dipasang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Mohd Hafid berkata, berdasarkan pengalaman tangkapan seekor harimau di Terengganu sebelum ini, mereka telah memasang puluhan perangkap dan mengambil masa lebih sebulan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, Jumaat lalu.

Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul kira-kira jam 9.10 pagi.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button