DomestikSemasa

Hilang lebih 30 jam ditemui selamat

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki ditemui selamat selepas dipercayai ‘ghaib’ selama lebih 30 jam sehabis membuang air kecil di dalam semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pelajar lelaki tingkatan 1, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi, 13, ditemui pada pukul 5.30 petang dalam keadaan lemah kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Katanya, selesai usaha pencarian dilakukan pagi tadi, penduduk kampung menemui mangsa berhampiran sebuah jambatan di kampung itu.

“Mangsa ditemui lengkap memakai baju kemeja-t lengan pendek berwarna merah berlogo Mickey Mouse dan berseluar pendek warna hitam dan sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus ditamatkan,” katanya.

Choon Foo berkata, mangsa, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button