KABUL: Seorang bayi lelaki Afghanistan yang hilang selepas diserahkan kepada tentera Amerika Syarikat (AS) di tembok lapangan terbang, selamat dikembalikan semula ke pangkuan keluarga kandungnya, Sabtu lalu.
Pada 19 Ogos tahun lalu, ketika rakyat Afghanistan sedang terdesak dan bersesak-sesak mahu melarikan diri dari negara itu, Sohail Ahmadi berusia dua bulan ketika dilaporkan hilang, di kawasan lapangan terbang di sini.
Bapa bayi itu yang juga pengawal kedutaan AS, Mirza Ali Ahmadi, isterinya, Suraya serta empat lagi anak pasangan itu sempat memasuki lapangan terbang Kabul bagi melarikan diri dari Afghanistan ketika Taliban mengambil alih pentadbiran negara itu.
Semasa kejadian, bayi itu diserahkan kepada tentera AS untuk melepasi tembok lapangan terbang, namun keluarganya gagal menemui bayi itu selepas berjaya memasuki kawasan lapangan terbang.
Media melaporkan Sohail ditemui seorang pemandu teksi, Hamid Safi, 29 di lapangan terbang.
Pada mulanya, Hamid enggan menyerahkan kembali kanak-kanak itu.
“Saya menjaga bayi ini. Jika keluarganya ditemui, saya akan berikannya kepada mereka. Jika tidak, saya akan membesarkannya sendiri,” katanya kepada Reuters pada November tahun lalu.
Selepas berminggu-minggu rundingan dan bantuan daripada Palang Merah, Safi akhirnya mengalah dan menyerahkan bayi itu kepada datuk bayi itu.
Dalam pada itu, Ahmadi, isterinya, Suraya dan anak mereka yang lain kini berpindah dari sebuah pangkalan tentera di AS ke pangsapuri di Michigan.
Mereka kini masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu dan tidak sabar menantikan untuk bertemu dengan Sohail.
“Sekarang saya harap dia (Sohail) tiba di sini (AS) dengan selamat. Semalam, saya tidak dapat tidur kerana terlalu gembira,” katanya. – REUTERS
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today