KOTA KINABALU: Hujan lebat sejak lewat malam mengakibatkan beberapa lokasi sekitar ibu negeri Sabah dilanda banjir kilat.
Antara lokasi terjejas termasuklah sekitar Taman Telipok Jaya, Taman Telipok Ria, Kampung Lokub, Kampung Lorong Pulau, Manggatal dan Kampung Kaulan dan Kampung Rugading, Tuaran.
Gambar-gambar keadaan banjir dikongsi netizen di sosial media terutama penduduk Sabah menunjukkan banyak kenderaan ditenggelami air.
Air juga dilihat mengalir deras setinggi satu meter lebih.
Air hujan dipercayai mulai naik sehingga menenggelamkan jalan raya dan kenderaan yang diletakkan berhampiran sementara kebanyakan tingkat bawah beberapa bangunan kedai juga ditenggelami banjir.
Hujan lebat dan banjir di sekitar bandaraya ini turut mengakibatkan beberapa jalan utama mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian banjir di beberapa lokasi.
Keadaan cuaca ketika ini masih hujan lebat dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan berhenti.
-sumber : bharian.com.my