Enam orang terbunuh dalam serangan Al-Shabaab

NAIROBI : Enam orang terbunuh dan banyak rumah dibakar di daerah Lamu di pantai Kenya, yang kononnya dilakukan oleh militan Al-Shabaab.
Menurut Pesuruhjaya Daerah Lamu Irungu Macharia, insiden itu berlaku di wilayah yang bersempadan dengan Somalia.
“Saya mengesahkan serangan ini, yang dipercayai dilancarkan oleh Al-Shabaab di lokasi dikenali sebagai Widhu dan kita kehilangan enam orang.
“Seorang daripada mereka mati ditembak, dan seorang lagi dibakar, pasukan keselamatan kini sedang menjejaki mereka dan kami mohon sokongan daripada penduduk tempatan untuk turut sama membantu,” tambahnya.
Pemberontak Al-Shabaab melancarkan beberapa siri serangan besar-besaran di Kenya sebagai tindak balas terhadap keputusan Nairobi menghantar tentera ke Somalia pada 2011 untuk berperang bersama pasukan Kesatuan Afrika.
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM