DuniaSemasa

Alaska alami fenomena ‘Icemageddon’ berikutan suhu ekstrem

ALASKA : Suhu paling panas direkodkan menimpa negeri paling sejuk di Amerika Syarikat, Alaska pada Ahad lalu.

Menurut laporan BBC, suhu di pulau Kodiak menunjukkan peningkat sehingga 7 darjah Celsius iaitu 19.4 darjah Celsius direkodkan pada Ahad lalu, lebih panas daripada paras tertinggi di negeri itu sebelum ini.

Walau bagaimanapun, suhu di beberapa kawasan lain di Alaska telah menjunam kepada paras terendah.

Amaran fenomona ‘Icemageddon’ telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa berikutan cuaca ekstrem akibat hujan lebat dan salji yang telah meninggalkan ais sekeras simen meliputi jalan raya.

“Ais amat sukar untuk dikeluarkan apabila ia telah melekat pada permukaan jalan.

“Jalan raya masih berada pada suhu di bawah sifar meskipun suhu udara panas, sekali gus menyebabkan ais melekat pada permukaan,” menurut Jabatan Pengangkutan dan Kemudahan Awam menerusi ciapan di Twitter.

Sementara itu, pakar berkata, udara Alaska yang kebiasaannya sejuk dan kering pada bulan Disember menjadi lebih lembap disebabkan udara panas yang bertiup dari Hawaii.

Ia bermakna, hujan lebat dan ribut salji berkemungkinan besar berlaku di kawasan pedalaman, jauh dari kawasan pantai.

Dalam pada itu, seorang saintis iklim, Rick Thoman berkata, ais itu berkemungkinan akan terus melekat pada jalan sehingga sekurang-kurangya Mac atau April depan.

 

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button