Penangguhan pendaftaran pelajar di institusi pengajian tinggi, kelmarin cukup hangat apabila rata-rata pelajar memberikan pelbagai komentar dan luahan perasaan mereka, sehingga trending di twitter, cetusan tanda pagar #siswajagasiswa
Perdebatan di media sosial itu sampai ke kemuncaknya sehingga mendesak Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad meletak jawatan.
Bukan setakat itu, tidak kurang juga ibu bapa yang terpaksa berpatah balik sebaik sampai di perkarangan universiti.
Tular di media sosial kisah meruntun hati melihat ibu bapa berpenat lelah dengan tenaga dan wang ringgit demi kemasukan anak ke menara gading.
Panik dengan arahan terbaru ramai juga yang meluahkan perasaan terutama bagi yang bagi pelajar yang terkandas ingin pulang.
Darah muda – biasanya begitu, namun tidak wajar pandangan mereka diketepikan.
Kerajaan harus mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini selain pihak universiti yang perlu lebih proaktif dalam mengurus pendaftaran kemasukan pelajar dalam tempoh penularan wabak covid-19.
Datuk Dr. Noraini memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul berikutan pembatalan pendaftaran pelajar di pusat pengajian tinggi semalam.
Beliau berkata, sejajar dengan dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta-merta.
Cadangan dibuat susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu.
“Peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka. Kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.
“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal. Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” kata beliau.
Kepada pelajar yang sudah tiba, kata Datuk Noraini, mereka boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak Universiti. Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke Universiti.
“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid19 ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.
Semalam Datuk Dr. Noraini menjadi sasaran kemarahan pelajar dan ibu bapa yang baru tiba untuk mendaftar di universiti tetapi terpaksa pulang. Ada yang menaiki bas, pesawat, kereta dan sebagainya terpaksa bergegas pulang akibat pengumuman mengejut itu.
Sikap tidak prihatin menyebabkan media sosial semalam dibanjiri dengan komen yang mendesak Menteri Pengajian Tinggi meletakkan jawatan kerana tidak cakna dan gagal mengendali kementeriannya.
Related