HULU LANGAT : Tahun 2021 makin hampir melabuhkan tirainya dalam masa beberapa hari lagi, Sambutan Tahun Baru mungkin adalah perayaan yang ditunggu-tunggu oleh sesetengah masyarakat dengan azam dan semangat yang baru.
Namun, bukan semua golongan mampu menikmati kemanisan ambang tahun baru kerana ada dalam kalangan kita yang kurang bernasib baik serta hidup dalam kesempitan sehinggakan tidak mampu untuk menutup kesedihan di sebalik wajah mereka, ditambah pula dengan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri baru-baru ini.
Untuk pertama kalinya inovasi klinik bergerak menggunakan bas dua tingkat anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( MAPIM) mula berkhidmat dalam memberikan pemeriksaan serta khidmat kesihatan secara percuma.
Menurut Doktor Pakar Kecemasan dan Bencana yang juga merupakan Pengarah MAPIM MEDIC, Dr. Shahrul Nizam Zamzali, program ini bertempat di Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding, Hulu Langat dan MAIWP menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk di sekitar kawasan Dusun Nanding yang merupakan antara lokasi yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.
Seramai 25 orang petugas telah terlibat dan antara NGO yang turut membantu selain MAPIM Malaysia, ialah Medicom dan Mahsa University.
Program ini berlangsung selama dua hari dan waktu beroperasi bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Ia memberikan faedah kepada ratusan penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda.
Program ini akan diteruskan lagi di kawasan-kawasan yang memerlukan terutamanya kawasan bencana banjir.
Pelancaran Mobile Clinic ini telah disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery di Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today