NEW DELHI : Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India (NCRB) melaporkan seramai 22,372 suri rumah di India membunuh diri sepanjang tahun lepas.
Menurut laporan BBC, suri rumah menjadi penyumbang tertinggi kes bunuh diri di India iaitu sebanyak 14.6 peratus daripada 153,052 kes pada 2020.
Lebih mengejutkan, 50 peratus daripada jumlah kes bunuh diri tersebut adalah golongan wanita.
Dilaporkan jumlah kes tersebut bersamaan dengan purata 61 kes bunuh diri setiap hari atau satu kes setiap 25 minit.
Pakar kesihatan mental, Dr. Usha Verma Srivastava memaklumkan, wanita merupakan golongan yang mempunyai daya tahan yang kuat, namun, tetap ada tahapnya.
“Banyak wanita di negara ini terpaksa berkahwin awal dan kehidupan mereka terikat selepas menjadi isteri serta ibu, selain menjadi mangsa keganasan domestik.
“Mereka tidak lagi dapat mengejar cita-cita atau impian, hal ini, menyebabkan suri rumah cenderung bunuh diri untuk ‘membebaskan diri’,” katanya.
Walau bagaimanapun, sebab paling utama perkara ini terjadi adalah berpunca daripada keganasan domestik.
Tambah Verma Srivastava, satu per tiga daripada wanita di India bunuh diri selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.