SHAH ALAM : Satu lagi kes varian baharu, Omicron telah dikesan di negara ini pada 14 Disember lalu, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes baharu itu melibatkan seorang kanak-kanak warga Malaysia berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.
“Kes tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.
“Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mereka telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pada tarikh 7 Disember 2021 lalu kanak-kanak tersebut didapati positif menerusi keputusan ujian RT-PCR dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari disebabkan ketiadaan gejala.
Beliau berkata, kontak rapat kepada kanak-kanak itu terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawanya dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.
“Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.
“Ujian RT-PCR Covid-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan. Ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari.
“Bapa kanak-kanak itu pula telah tiba di Malaysia pada 12 Disember 2021 dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RT- PCR bapa pada hari ketibaan adalah negatif,” jelasnya.
Khairy berkata, seramai 35 orang kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri dan kanan bagaimanapun keputusan ujian RT-PCR Covid-19 menunjukkan kesemuanya negatif.
“Pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Pada 3 Disember lalu, KKM memaklumkan kes pertama Omicron dikesan di Malaysia membabitkan pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.