Semasa

Indonesia umum kenaikan cukai rokok

INDONESIA : Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, mengumumkan kenaikan 12% dalam kadar cukai rokok, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, lapor berita Kompas.

Menurutnya, mulai tahun depan, harga setiap jenama rokok yang kini terdapat di Indonesia akan meningkat kepada Rp38,100 (RM11.26) setiap pek.

“Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah meminta semua persiapan dapat diselesaikan sebelum cukai baharu boleh dilaksanakan pada 1 Januari.

“Bagaimanapun, kenaikan tarif cukai rokok sebanyak 12% adalah tidak ketara memandangkan kenaikan cukai tahun lepas adalah 12.5%,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Rokok adalah pengeluaran kedua terbesar selepas beras yang dihasilkan kelompok isi rumah miskin di Indonesia sekarang.

Sri Mulyani seterusnya berkata, keputusan untuk menaikkan kadar cukai rokok itu dibuat selepas mengambil kira empat faktor utama termasuk mengurangkan jumlah perokok, isu pekerja kilang dan membanteras penjualan rokok seludup.

Beliau berharap kenaikan cukai itu akan menurunkan kadar perokok berumur 10 hingga 18 tahun, yang kini berada pada 8.83 peratus, kepada unjuran 8.7 peratus pada 2024.

Pada peringkat ASEAN, Indonesia adalah negara ketiga yang menjual rokok pada harga tinggi di belakang Singapura dan Malaysia.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawa pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button