
JORDAN : Untuk manusia normal sahaja, menghafal Quran bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, seorang pesakit Down Syndrome, Rawan Dweek, 26, mampu menghafal 30 Juz al-Quran.
Rawan Dweek dapat mengatasi kekurangan genetik dengan berjaya menghafal 604 muka surat, 114 surah, 6,348 ayat, dan lebih 77,437 perkataan kitab suci al-Quran.
“Saya ingin menyebarkan motivasi dan semangat kepada orang ramai agar mereka terus mempelajari ilmu al-Quran seperti saya,” kata Rawan Dweek kepada Jordan News.
Ibu kepada insan istimewa itu, Awatef Jaber, memberi nasihat supaya kisah inspirasi anaknya menjadi contoh dan dorongan kepada semua orang, lebih lagi yang mempunyai kekurangan seperti Rawan Dweek.
“Syukur atas segala usaha anak perempuan telah membuahkan hasil,” luah ibu Rawan Dweek.
Selain itu, Awatef Jaber berjaya melunaskan impian yang tersurat sejak anaknya dilahirkan iaitu berjanji untuk berusaha mengajar anak perempuannya itu mampu membaca al-Quran.
“Maka itu adalah kehendak Tuhan. Allah memberkati dan memberi keistimewaan kepada kami dengan apa yang saya dambakan,” ujarnya.
Jelas ibu Rawan lagi, walaupun penghidap ‘Down Syndrome’ mempunyai cenderung untuk mengalami masalah bercakap serta pembelajaran, tetapi Rawan dikurniakan dengan artikulasi yang jelas.
“Rawan sentiasa menjadi kanak-kanak yang luar biasa, cerdik dan bijak ketika di zaman persekolahan dan memperoleh prestasi yang cemerlang.
Dalam satu temu bual bersama Jordan News, pengasas Down syndrome: Our Lives Have Meaning Foundation, Entesar Adel Al-Kateeb berkata insan seperti Rawan Dweek adalah satu keajaiban.
“Dia adalah orang Sindrom Down pertama yang menghafaz seluruh Al-Quran, bukan sahaja di Jordan tetapi di seluruh dunia Arab. Dia berhak mendapat perhatian dan penghormatan. Kami semua berbangga dengannya,” kata Kateeb, yang turut mendokumentasikan perjalanan Rawan.
Oleh Faiz Danial – Wartawan pelatih Ummah Today