Semasa

Angin ribut bunuh empat orang di Turki

ISTANBUL : Laporan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan, menunjukkan empat orang terbunuh dan 38 lagi cedera semalam ketika ribut dan angin kencang melanda Istanbul, bandar terbesar di Turki (AFAD).

Menurut Agensi Anadolu, Pusat Panggilan Kecemasan 112 di Istanbul telah menerima 1,517 panggilan berkaitan ribut setakat 8.30 malam waktu tempatan.

Pejabat gabenor menyatakan bahawa agensi kecemasan bekerja keras memberikan bantuan kepada mangsa ribut.

Angin kencang telah bertiup ke seluruh bandar yang mempunyai lebih 15 juta penduduk sejak pagi Isnin, menyebabkan pokok tumbang, bumbung rosak dan sebuah menara jam runtuh.

Menurut pegawai meteorologi negeri, angin bertiup hingga 129 kilometer sejam (km/j) di daerah Beylikduzu yang turut musnah akibat banjir lumpur semasa ribut.

Beberapa bot yang berlabuh di Maltepe dan Pendik rosak teruk akibat ribut manakala sebuah kapal kargo melanggar jeti di Pelabuhan Ambarli.

Pihak berkuasa menggantung transit marin dan menghentikan semua laluan perkapalan dari kedua-dua arah merentasi Selat Bosphorus yang menghubungkan Marmara dan Laut Hitam.

Turkish Airlines telah mengarahkan sekurang-kurangnya enam pesawat membatalkan  pendaratan di lapangan terbang kerana keadaan cuaca yang teruk.

Dalam satu kenyataan rasmi, angin kencang dan ribut dijangka melanda sebahagian besar Turki sehingga Selasa  dan orang ramai diminta mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan bahaya semasa cuaca buruk.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button