Hukum makan sushi, sashimi adalah harus, tidak langgar hukum syarak
PUTRAJAYA : Orang ramai tidak perlu berasa ragu-ragu untuk memakan sushi dan sashimi kerana hukumnya adalah harus dan dibenarkan, dengan syarat ia tidak melanggar hukum syarak serta tidak memberi kemudaratan kepada tubuh badan mahupun akal fikiran.
Menurut penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) memetik petikan Irshad Al-Fatwa Siri ke-654:
“Hukum memakan sushi dan sashimi adalah harus dan dibenarkan, dengan syarat ia tidak melanggar mana-mana hukum syarak dan tidak memberi kemudaratan terhadap tubuh badan mahupun akal fikiran.
Di samping itu, sos pencicah atau lain-lain hidangan sampingan perlulah berada dalam kategorikan sesuatu yang halal dan tidak mengandungi sesuatu yang haram seperti sake (arak), hirisan daging khinzir dan lain-lain lagi,” menurutnya.
Mengulas lanjut, hidangan sampingan itu mestilah bukan mengandungi sesuatu yang haram seperti sake (arak), hirisan daging khinzir dan lain-lain lagi.
Tambahnya lagi, PMWP berkata mereka pernah membahaskan dalam artikel terdahulu bahawa hukum memasak atau memakan haiwan yang masih hidup adalah makruh bukannya haram.
“Walau bagaimanapun, dalam hal memakan ikan mentah yang telah mati atau daging mentah yang telah disembelih secara syarak, tidak terdapat dalil khusus yang menyatakan tentang pengharamannya.
“Oleh yang demikian, dalam hal memakan sushi atau sashimi ini gambarannya sama seperti memakan ikan yang telah mati dan daging mentah yang telah disembelih dengan kaedah syarak, maka jelas di sini hukumnya adalah harus dan halal sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama,” katanya.
Tambahan pula, ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan pada tubuh dan akal.
Sushi merupakan salah satu makanan tradisional yang paling popular di Jepun, dan kini turut digemari di seluruh dunia.
Sushi diperbuat daripada nasi bercuka dan dibubuh inti campuran ikan, makanan laut, sayur-sayuran atau telur dan intinya dihidangkan sama ada secara mentah, dimasak atau diperam.
Seterusnya, sashimi pula merupakan makanan Jepun yang terhasil daripada makanan laut yang dimakan dalam keadaan mentah bersama penyedap seperti kicap masin, parutan halia, dan wasabi.
Sashimi juga bermaksud menikmati sesuatu dalam keadaan mentah, bermula daripada potongan mentah daging kuda (Basashi), daging ayam (Torisashi), hati ayam atau hati lembu, hingga pada potongan Konnyaku (sejenis tumbuhan) dan tauhu yang disebut sebagai Yuba.
Oleh Hafeez Anuar