BRAZZAVILLE : Hanya suku daripada petugas kesihatan di Afrika lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia menyebabkan majoriti petugas barisan hadapan di benua itu lebih terdedah kepada bahaya coronavirus.
Pengarahnya, Matshidiso Moeti, jumlah pekerja kesihatan yang menerima suntikan dua dos vaksin sehingga kini hanya 27 peratus.
Menurutnya, berdasarkan kajian ke atas 22 negara yang berpendapatan tinggi, ia menunjukkan perbezaan yang ketara iaitu lebih 80 peratus pekerja penjagaan kesihatan mereka diberi vaksin sepenuhnya.
“Majoriti pekerja kesihatan Afrika masih tidak divaksin dan terdedah kepada jangkitan Covid-19 yang teruk.
“Adalah penting bagi pekerja kesihatan mendapat perlindungan vaksin bukan saja untuk kebaikan mereka sendiri tetapi juga untuk pesakit dan bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan terus beroperasi pada masa kritikal ini,” katanya.
Setakat ini, Moeti berkata hanya satu negara di Afrika mempunyai bilangan pekerja kesihatan mengikut nisbah diperlukan iaitu 10.9 bagi setiap 1,000 penduduk manakala 16 negara mempunyai kurang daripada satu bagi setiap 1,000 penduduk.
“Sebarang kehilangan pekerja kesihatan akibat Covid-19 memberi kesan besar kepada kapasiti perkhidmatan ini,” katanya.
Pendedahan saintis Afrika Selatan terhadap penemuan varian Covid-19 baharu dengan jumlah mutasi yang sangat tinggi sehingga menyumbang kepada lonjakan jangkitan di negara itu mendorong WHO bertindak campur tangan.
Moeti berkata, buat pertama kali sejak gelombang ketiga pada Ogos lau, jumlah kes di Afrika Selatan menunjukkan peningkatan sehingga 48 peratus pada 21 November, berbanding minggu sebelumnya.
“Dengan lonjakan baharu kes jangkitan yang menyusuli musim perayaan akhir tahun, Afrika mesti segera mempercepatkan inokulasi pekerja penjagaan kesihatan,” katanya.
– AFP
Oleh Hafeez Anuar