NEW DELHI : India bakal membuka semula sekolah selepas seminggu diumumkan penutupannya berikutan pencemaran udara tahap bahaya direkodkan.
Menteri Alam Sekitar Delhi, Gopal Rai, berkata beberapa sekatan juga telah dilonggarkan susulan tahap pencemaran di bandar berkenaan kian bertambah baik sejak tiga hari lalu.
Akibat pencemaran udara mencecah lebih 30 kali ganda saranan maksimum oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa beberapa kilang arang batu diumumkan tutup termasuk melarang kemasukan kenderaan bukan keperluan, sekatan kerja pembinaan dan menggesa orang awam agar tidak keluar.
Tahap pencemaran berada pada paras PM 2.5, bahan zarah paling berbahaya yang menjadi penyebab penyakit paru-paru dan jantung kronik.
Ia masih sekitar 120 mikorgram setiap meter padu, yang menurut syarikat pemantau IQAir iaitu lapan kali had WHO.
Delhi, salah sebuah bandar yang memiliki populasi sekitar 20 juta orang adalah paling teruk tercemar umpama diselimuti asap tebal setiap musim sejuk selepas petani di negeri sebelah utara membakar sisa tanaman.
“Sekolah, kolej dan institusi boleh dibuka semula pada Isnin. Pejabat kerajaan yang diberi arahan supaya bekerja di rumah juga akan diminta untuk dibuka semula dan kita akan menasihati pegawai untuk menggunakan pengangkutan awam,” kata Rai.
Sekatan untuk aktiviti pembinaan di bandar terbabit juga sudahpun dilonggarkan dan kenderaan berasaskan elektrik dan menggunakan gas semulajadi juga dibenarkan untuk memasuki semula Delhi.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar