Semasa

Pemandu bas tidak berhenti solat dikenakan tindakan disiplin

KUALA TERENGGANU : Pemandu bas yang didakwa tidak berhenti solat Subuh serta meninggalkan penumpang telah diturunkan dan tidak lagi diberi tugas sebagai pemandu bas.

Syarikat Bas, Sani Ekspress Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata pemandu berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin seperti amaran, kaunseling, latihan semula atau tindakan lanjut mengikut prosedur syarikat.

“Pihak Syarikat memandang serius berkenaan insiden tersebut dan berasa kesal terhadap apa yang berlaku.

“Berhenti rehat dan solat adalah prosedur wajib bagi semua pemandu Sani Express semasa dalam perjalanan, solat 5 waktu adalah perkara wajib yang harus di laksanakan kita sebagai umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, pihak mereka turut memohon maaf di atas insiden yang berlaku dan berjanji dan berusaha agar perkara tersebut tidak berulang lagi

Terdahulu, tular di media sosial seorang pengguna akaun Facebook, Muhammad Safwan memuat naik status menceritakan kejadian dialami sepanjang perjalanan menaiki bas tersebut.

Katanya, pemandu bas berkenaan tidak memberikan sebarang reaksi apabila ditanya lokasi bas berhenti untuk menunaikan solat Subuh.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button