
SLOVAKIA : Sekatan yang lebih ketat dikenakan terhadap rakyat yang belum divaksin di Slovakia untuk tempoh tiga minggu.
Mereka yang belum divaksin dilarang untuk ke pusat membeli belah, gimnasium, kolam renang, hotel serta sektor tidak penting, malah mereka juga tidak dibenarkan menghadiri sebarang perhimpunan awam secara besar-besaran seperti acara sukan.
Walau bagaimanapun, keputusan ujian calitan negatif perlu dibuktikan oleh mereka yang belum divaksinasi sebelum ke tempat kerja.
Menurut Menteri Dalam Negeri Slovakia Roman Mikulec, pengawasan polis di jalanan yang lebih ketat akan dilaksanakan bagi memantau mereka yang melanggar peraturan.
Sementara itu, penggunaan katil dengan ventilator di hospital juga dilaporkan mencapai kapasiti tinggi.
Lapan daripada sepuluh pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital terdiri daripada mereka yang belum melengkapkan vaksinasi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Slovakia Eduard Heger tidak menolak kemungkinan bahawa mereka akan mewajibkan vaksinasi ke atas warga emas namun hasratnya itu belum menerima sokongan dari parti gabungannya.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar