Semasa

Kaedah dakwaan melampau dalam iklan adalah haram – Mufti

PUTRAJAYA : Penggunaan kaedah dakwaan melampau atau overclaim dalam pemasaran adalah haram kerana ia mempunyai unsur penipuan dan memakan harta orang lain dengan cara batil.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menjelaskan hukum kaedah dakwaan melampau khususnya dalam mempromosikan dan mengiklankan produk atau barangan.

Menurut PMWP, sikap amanah, jujur serta mengamalkan nilai-nilai yang dianjurkan Islam ketika melakukan aktiviti pengiklanan haruslah diterapkan oleh semua penjual.

“Kaedah pengiklanan dengan cara dakwaan melampau dalam kamus Merriam-Webster merujuk kepada perbuatan untuk membuat dakwaan palsu atau berlebih-lebihan tentang sesuatu produk.

“Oleh itu, perbuatan ini adalah sama seperti menipu yang dilarang dalam Islam,” katanya menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-646: Hukum melakukan dakwaan melampau dalam pemasaran, dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, tawaran dan dakwaan penjual melalui kaedah pemasaran melampau dilihat bertujuan memanipulasi seseoarang agar tertarik dan seterusnya membeli produk tersebut.

Jelas PMWP lagi, perbuatan sebegini adalah dilarang dalam Islam kerana ia seolah-olah memakan harta orang lain dengan cara-cara menipu.

“Seorang penjual perlulah bersifat jujur dan amanah ketika melakukan aktiviti pengiklanan produk mereka.

“Penjual yang jujur bukan sahaja mendapat kelebihan duniawi, dia akan turut mendapat kelebihan di akhirat kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, perbuatan dakwaan melampau atau overclaim boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun boleh dikenakan terhadap individu yang mengeluarkan iklan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan dan sebagainya.

“Manakala pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua,” katanya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button