DuniaSemasa

Hari Kanak-kanak Sedunia 2021 : Masa depan lebih baik untuk setiap kanak-kanak

Selamat menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia!

Sempena hari kanak-kanak sedunia tahun ini yang bertemakan ‘Masa depan lebih baik untuk setiap kanak-kanak’  memberikan gambaran bahawasanya masa depan anak-anak ini bergantung pada keadaan dan persekitaran mereka.

Pembentukan corak pemikiran haruslah bermula persekitaran yang penuh didikan  bagi menghasilkan pewaris negara yang mampu menjadi khalifah terbaik di muka bumi ini.

Hari Kanak-Kanak Sedunia mula disambut pada tahun 1954 bagi menggalakkan kebersamaan antarabangsa, kesedaran terhadap kanak-kanak di seluruh dunia dan menambahbaik kebajikan kanak-kanak.

Hari Istimewa ini menawarkan kepada kita titik permulaan inspirasi untuk menyokong, mempromosikan dan meraikan hak kanak-kanak, dalam pada masa sama membina dunia yang lebih baik untuk kanak-kanak.

Bagaimanapun, masih ada di luar sana kanak-kanak yang tidak mendapat keistimewaan dan hak yang sewajarnya mereka terima.

Berdasarkan data yang dikeluarkan ReliefWeb, sebanyak 1.6 bilion (69 peratus) kanak-kanak tinggal di negara yang dilanda konflik dan hampir 426 juta kanak-kanak dilaporkan tinggal di kawasan Zon Konflik.

Seorang kanak-kanak bertongkat menuju ke pintu masuk Ghouta yang dibuka di Beit Sawa

Kebanyakan daripada anak-anak ini hilang tempat bergantung, sama ada kematian ibu bapa akibat peperangan atau dipisahkan ekoran konflik bersenjata.

Seperti contoh, peperangan di Syria telah memberi impak besar dalam kehidupan anak kecil di sana. Dalam satu kenyataan, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), memberi amaran bahawa konflik yang melanda hampir 10 tahun di negara itu telah mengakibatkan 90 peratus kanak-kanak di sana memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

Selain itu, merujuk laporan yang dikeluarkan UNICEF, antara 2011 hingga 2020 seramai 12,000 kanak-kanak menjadi korban peperangan, 5,700 kanak-kanak dipaksa menjadi anggota tentera dan lebih 1,300 pusat pendidikan telah dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) turut memberi penekanan terhadap perlindungan kepada kanak-kanak, terutama kanak-kanak golongan rentan, mangsa keganasan seksual dan keganasan rumah tangga.

Dilaporkan, di Malaysia di antara Jun 2020 hingga Ogos lalu, sebanyak 1,721 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dan 2,162 kes aktif dan sedang dalam perbicaraan.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlindungan ke atas kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

Ujar beliau, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini selaras falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak.

“Dalam hal ini, Malaysia berpegang teguh dengan matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menjadi agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya tiada kanak-kanak terpinggir dalam pembangunan negara dan mereka berhak hidup dengan selamat serta gembira.

“Kerajaan sentiasa melindungi semua kanak-kanak di negara ini tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa, agama, kelahiran atau status.” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan kanak-kanak haris diambil kira terutama kumpulan kanak-kanak rentan, dan ini termasuk kanak-kanak pelarian.

Dalam nada yang sama, Dr. Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM, berkata,

“Anak-anak pelarian adalah anak-anak kita juga. Sekiranya kita tidak endah pada mereka, bukan sahaja masa hadapan mereka dan negara mereka musnah, masa hadapan agama kita juga akan kabur. Bagaimana mahu membangunkan bangsa dengan agama sekiranya kalimah Allah pun mereka tidak mampu baca?”

Malaysia merupakan salah satu negara yang menduduki kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button