Taliban tahan lelaki jual 130 wanita Afghanistan
KUNDUZ : Pihak berkuasa Taliban menyatakan telah menahan seorang lelaki yang memperdagangkan berpuluh-puluh wanita di utara Afghanistan selepas menipu wanita tersebut akan dikahwinkan dengan orang yang kaya raya.
Individu itu ditahan petang semalam di utara Jawzjan, kata ketua polis wilayah Taliban, Damullah Seraj.
“Siasatan ini masih di peringkat awal. Kami menjangkakan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai situasi ini nanti,” katanya
Menurut komander polis daerah Jawzjan, Mohammad Sardar Mubariz, tertuduh menyasarkan wanita kurang berkemampuan yang ingin memperbaiki keadaan hidup mereka.
Lelaki itu menipu dengan memberitahu akan mencari pasangan yang kaya dan kemudian membawa mangsa ke wilayah lain untuk dijual sebagai hamba.
Dia dituduh menggunakan kaedah ini bagi memperdagangkan 130 wanita.
Jenayah, nepotisme dan rasuah bukan perkara luar biasa di Afghanistan tetapi tahap kemiskinan yang semakin meningkat menjejaskan objektif perundangan kerajaan Taliban.
Sejak menguasai semula tiga bulan lalu, Taliban telah berusaha mengurangkan pelbagai jenayah di bandar-bandar utama termasuk rompakan dan penculikan.
Kementerian Dalam Negeri Taliban mengumumkan bahawa 60 orang termasuk pekerja pejabat pasport telah ditahan kerana memalsukan dokumen untuk mendapatkan pasport.
Kerajaan memaklumkan pejabat pasport di Kabul ditutup sementara atas urusan penyelenggaraan.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM