Semasa

Operasi nyah cemar di Masjidil Haram 10 kali sehari

RIYADH : Bagi menjaga kebersihan dan mengelakkan dari dijangkiti virus Covid-19 dalam kalangan jemaah dan pengunjung, Masjidil Haram di Makkah menjalani operasi nyah cemar dan pembersihan sebanyak 10 kali sehari.

Kerja-kerja pembersihan dilaksanakan oleh seramai 4,000 pekerja lelaki dan wanita termasuk 200 kakitangan kanan.

Pada Rabiulawal lalu, 2.4 juta liter produk pembasmi kuman dan pembersihan bermutu tinggi telah digunakan dalam 300 operasi nyah cemar dijalankan di Masjidil Haram dan kawasan lapangnya.

Menurut laporan Saudi Press Agency (SPA), masjid itu juga disembur 45,000 liter minyak wangi dan 100 wangian pembersih udara digunakan di dalamnya.

Sejumlah 500 perkakas dan peralatan digunakan ketika operasi pembersihan dan setiap operasi mengambil masa 25 minit bagi memastikan jemaah tidak diganggu.

Pada Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri memperincikan definisi tempat awam yang dibenarkan masuk dengan dan tanpa pelitup muka.

Sumber kementerian itu, menyatakan bahawa individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka seperti di taman dan dataran awam serta di ruang kaki lima.

Sementara di tempat awam yang berdinding dan tertutup, walaupun dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dan masih tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Ruangan tertutup ini termasuk stadium, dewan acara yang mampu memuatkan 500 orang ke atas pada satu-satu masa, premis yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna, koridor dan kawasan terbuka dalam kompleks komersial, di dalam masjid, pasar awam dan premis perniagaan kecil.

Oleh Hafeez Anuar

– AGENSI

Related Articles

Back to top button