KUALA LUMPUR : Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun akan mula diberikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech bermula pada 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat ini, mereka masih menunggu kelulusan regulatori daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
“Pfizer dijangka akan mengemukakan data berkaitan pendaftaran penggunaan vaksin untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun kepada NPRA (Agensi Regulatori Farmasi Negara) untuk diberi penilaian serta mendapatkan kelulusan pendaftaran,” katanya.
Mengulas lanjut, kerajaan kini dalam proses memperoleh vaksin Pfizer BioNTech untuk kegunaan imunisasi bagi golongan itu memandangkan formulasi yang digunakan berbeza daripada populasi dewasa, tertakluk kepada kelulusan NPRA dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Anggaran keperluan kuantiti adalah sebanyak 11.8 juta dos untuk diagihkan kepada seramai 5.9 juta kanak-kanak yang bakal menerima vaksin.
Oleh Hafeez Anuar