Semasa

Taliban isytihar angkatan bersenjata baharu

KABUL : Kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan mengisytiharkan akan membentuk angkatan bersenjata baharu untuk negara itu, yang membabitkan kakitangan daripada tentera bekas rejim itu.

Presiden Ashraf Ghani melarikan diri dari Afghanistan pada 15 Ogos ketika Taliban merampas kuasa dalam serangan pantas apabila AS dan sekutunya mengeluarkan tentera mereka selepas 20 tahun.

Taliban menubuhkan kerajaan di Afghanistan yang digelar sebagai Emiriah Islam pada September.

Dalam mesej audio yang disediakan oleh kementerian pertahanan pada hari Ahad, Mullah Mohammed Yaqoob, anak kepada pengasas Taliban Mullah Omar, mengisytiharkan penubuhan unit tentera baharu.

Beliau berkata kementerian merancang bagi menubuhkan tentera negara dan autonomi dengan keupayaan darat dan udara untuk “melindungi negara dengan nilai tinggi” dan ia akan berusaha untuk melengkapkannya dengan persenjataan kontemporari.

Menurut laporan Arab News, Emiriah Islam akan berusaha menubuhkan tentera yang akan bertanggungjawab  melindungi rakyat Afghanistan dan mampu mempertahankan keamanan Afghanistan dalam apa jua keadaan.

Beliau berkata bahawa tentera baharu itu akan dianggotai oleh pemberontak Taliban dan bekas kakitangan kerajaan.

“Tentera ini akan terdiri daripada kakitangan baru serta mereka yang pernah berkhidmat dalam Tentera Nasional Afghanistan. Kami akan bekerjasama membina tentera yang kuat daripada kedua-dua tentera semasa dan bekas tentera Afghanistan,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat sama ada negara lain akan menyokong pembinaan pasukan tentera baharu itu.

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button