KUALA LUMPUR : Orang ramai terutamanya penduduk yang berada di kawasan rendah (hot spot) banjir serta berhampiran sungai diminta untuk sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi peringatan awal sebagai langkah awal buat orang ramai untuk bersiap sedia menghadapi banjir.
Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), negara akan berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September dan berterusan sehingga awal November 2021.
“Rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah bagi kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam masa singkat.
“Hujan lebat ekstrem sebegini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti sebegitu dalam tempoh singkat dan akan melimpahi tebing, seterusnya menjejaskan kawasan penempatan rendah terutamanya.
“Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang, lalu memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan banjir,” katanya.
Dalam satu kenyataan JPS berkata, pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai persediaan menghadapi banjir.
Selain itu, pihaknya juga sentiasa melaksanakan penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur JPS secara berkala.
Sementara itu, berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan oleh NADMA, setakat semalam, sebanyak 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di sekitar Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dilaporkan jumlah mangsa banjir tertinggi ialah Melaka dengan mencatatkan seramai 492 mangsa terdiri daripada 130 buah keluarga berjaya dipindahkan ke 10 buah PPS.
Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan dan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia di laman web Public Infobanjir dan menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir.
Oleh Nurshazlin Shahrom