KUMAMOTO : Gunung berapi aktif di Kumamoto meletus kira-kira jam 11:43 pagi tadi, lapor Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Pihak JMA mengeluarkan amaran tahap tiga dan meminta penduduk tempatan untuk tidak menghampiri tiga kawasan meliputi bandar Aso, Takamori dan kampung Minami-Aso.
Tahap amaran paling tinggi ialah pada skala lima.
Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno memberitahu media tempatan bahawa setakat ini tidak ada kecederaan dilaporkan dan pihak berkuasa tempatan masih berusaha menjejaki jika ada pendaki di kawasan gunung.
Menurut portal The Japan Times, ketinggian abu letusan gunung berapi tersebut mencecah sehingga 3,500 meter.
Gunung Aso terletak di pulau Kyushu dengan ketinggian 1,592 meter dari paras laut kali terakhir meletus pada Julai 2019.
JMA turut memberi amaran mengenai kemungkinan batu besar melayang ke udara dalam radius sekitar satu kilometer dari kawah Nakadake gunung itu.
Debu dan asap putih kelihatan di puncak gunung dan boleh dikesan di dikesan di bandar-bandar berdekatan sehingga lewat petang ini, menurut agensi itu.
Oleh Nurshazlin Shahrom