SEOUL : Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tegas menyatakan keperluan senjata demi menghadapi musuh mereka iaitu Amerika Syarikat dan tentera Korea Selatan.
Menurut laporan agensi berita rasmi Korea Utara KCNA, Pyongyang meningkatkan ketenteraan untuk mempertahankan diri dan bukan bertujuan untuk perang.
“Kami tidak mahu berperang dengan siapa pun, cuma melindungi kedaulatan negara,” kata Kim.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengatakan bahawa agensi perisiknya dan Amerika Syarikat (AS) sedang menganalisis peralatan yang dipamerkan.
Jurucakap Jabatan Negara AS mengulangi mereka tidak mempunyai niat bermusuhan terhadap Korea Utara dan bersedia untuk bertemu dengannya tanpa syarat.
Namun, Pyongyang menegaskan mereka tidak berminat untuk mengadakan perbincangan selagi Washington mengekalkan dasar aktiviti ketenteraan di Korea Selatan.
Korea Selatan baru-baru ini menguji peluru berpandu balistik kapal selam pertama, merancang untuk membina kapal induk dan telah membeli pesawat tempur siluman F-35 buatan Amerika.
Korea Utara terus maju dengan program peluru berpandu dan program reaktor nuklear utamanya.
Minggu lalu Pyongyang mendesak Seoul untuk meningkatkan usaha untuk memperbaiki hubungan.
Kim mengatakan usaha Seoul yang “tidak terhad dan berbahaya” sebenarnya “merosakkan keseimbangan ketenteraan dan meningkatkan ketidakstabilan.
Oleh Nurshazlin Shahrom